www.tranungkite.net
Ramai juga yang yakin bahawa Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan
persekutuan pada 16 september ini . Saya sendiri beberapa kali diajukan
pertanyaan apakah benar kerajaan ini akan dibentuk pada 16 september.
Saya hanya menjawab Wallahua’lam ( Allah swt. sahaja yang maha Mengetahui ) . Saya tidak mahu mendahului takdir Ilahi .
Sememangnya hati dan perasaan saya cukup tebal agar Kerajaan Barisan
Nasional yang menganut faham sekular ini ditumbangkan bersama dengan
koleksi kezaliman dan kekejaman yang mereka lakukan ke atas rakyat
negara ini.
Tetapi sebagai seorang anggota gerakan Islam , saya juga tidak mahu
kita meruntuhkan kerajaan jahiliyyah dan membina kerajaan jahiliyyah
yang baru . Sebaliknya apa yang kita mahu ialah kita meruntuhkan
kerajaan Jahiliyyah dan kita menubuhkan Kerajaan Islam yang menepati
konsep Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafuur .
Andai benar Pakatan Rakyat berjaya menubuh kerajaan persekutuan pada 16
sept ini , persoalan tertumpu kepada bagaimana bentuk kerajaan tersebut
?
Apakah kerajaan tersebut terdiri daripada majoriti ahli parlimen
dikalangan bukan Islam ? apakah jawatan timbalan perdana menteri juga
akan terdiri dikalangan bukan Islam ? Dengar khabarnya Perdana Menteri
sudah pasti Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan beliau di katakan akan
melantik 3 timbalan perdana menteri .
Saya tidak bersifat perkauman . Ertinya saya tidak kisah MP ( ahli
parlimen ) terdiri dari kalangan bangsa / kaum Cina , India , Melayu
atau lainnya , tetapi yang penting mestilah muslim dan mukmin.
Justeru itu , jika kerajaan Pakatan Rakyat yang dikatakan akan
terbentuk pada 16 sept ini tidak didominasikan oleh MP dikalangan
muslim , maka ia membawa maksud kerajaan itu bukan lagi kerajaan orang
Islam ( jauh sekali kerajaan Islam ) .
Maksud yang sama juga ialah kuasa politik negara ini bukan lagi berada
di tangan orang Islam. Tentu sahaja masa depan orang Islam di negara
kita akan terus menghadapi hari - hari suram dan kelamnya.
Pada hemat saya , PAS sebagai sebuah Gerakan Islam tidak boleh
membenarkan kerajaan yang menghakis kuasa politik orang Islam dibentuk
dalam negara kita. Membenarkannya juga membawa erti kita telah
melanggar dan bersalahan dengan semangat perlembagaan parti yang kita
tubuh dan perjuangkan selama ini. Iaitu ke arah membentuk kerajaan yang
terlaksana di dalamnya al amru bil makruf dan an Nahyu anil Mungkar
pula menurut lunas syariat .
PAS mesti memastikan kuasa politk terus kekal ditangan orang Islam
sekalipun ia bukan melayu . Namun secara sifir kasarnya orang Islam di
dalam negara kita adalah terdiri ramai dikalangan orang melayu .
Pakatan Rakyat , khasnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri mestilah peka
perkara ini . Kerajaan yang hendak dibentuk mestilah tidak meninggalkan
kuasa politik orang - orang Islam khasnya dan orang melayu amnya.
Janganlah asal boleh menjadi Perdana Menteri, maka siapa sahaja ahli
parlimen yang boleh bersama untuk membentuk kerajaan diterima lalu
dibentuk kerajaan tanpa melihat di mana kuasa politk orang Islam dan
dimana kuasa politik orang Melayu ?
Kebimbangan saya ini berasaskan maklumat bahawa 30 MP yang bakal
melompat masuk Pakatan Rakyat adalah terdiri dari kalangan MP bukan
Islam kecuali 2 orang sahaja .
Saya cadangkan PAS mesti keluar dari Pakatan Rakyat jika Pakatan Rakyat
terus bermaksud ingin membentuk kerajaan persekutuan tanpa memastikan
agar kuasa politik itu mesti didominasikan oleh orang Islam .
Saya rasa , semua orang Islam apatah lagi pendokong gerakan Islam boleh bersetuju dengan cadangan saya .
Kalau kita begitu terguris hati apabila PAS mengadakan muzakarah dengan
UMNO kerana melihat UMNO adalah musuh politik , zalim , kejam dan
segala najis mungkar bersamanya , saya yakin mereka ini akan lebih
terguris hatinya ketika melihat kerajaan persekutuan yang bakal
dibentuk pada 16 sept oleh Pakatan Rakyat nanti , didominasikan oleh
golongan bukan Islam . Sekurang - kurangnya UMNO yang dibenci itu masih
lagi ahli syahadah.
Kepada sahabat perjuangan , perkukuhkan amal Islami kita , perteguhkan
gerak kerja amal tarbawi kita guna memacu perjuangan yang kini memasuki
episod baru , membelah badai yang datang dari segenap arah untuk
meranapkan cita - cita besar kita , yang mahu melihat tertegaknya
Negara Islam di atas tanahair kita .
Hari ini , saya semakin faham kenapa Tok Guru Presiden terus bertegas
untuk bermuzakarah dengan siapa sahaja individu , parti politik atau
pun NGO demi masa depan Islam dan ummah agar kuasa politik terus
ditangan ummat Islam dan ianya tidak terlepas.
Apa yang semakin saya pelajari dari skil politik Tok Guru ini ialah
agar kita berhati - hati memacu perjuangan supaya tidaklah kita keluar
dari mulut buaya ( Jahiliyyah ) dan kita masuk mulut harimau (
jahiliyyah )
Buaya meskipun ganas , keganasannya hanya terhad di dalam air ( sungai
) yang jarang - jarang sekali kita merentasinya. Apa yang lebih bimbang
ialah Harimau , keganasannya adalah di darat sedang kita hidup didarat
ini .
Semoga Allah selamatkan Perjuangan suci ini . Takbiiiirr !! ( 3 kali )
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi